Wednesday, May 20, 2015


TERBARU!! GST KAD TAMBAH NILAI KEKAL |
Kerajaan hari ini mengumumkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas penggunaan kad tambah nilai prabayar akan dikekalkan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pengguna tidak akan dikenakan GST semasa membeli kad tambah nilai, sebaliknya hanya akan membayar cukai tersebut apabila menggunakan nilai yang dikreditkan ke nombor telefon bimbit masing-masing.

"Kerajaan berusaha mencontohi negara-negara lain yang turut mengenakan cukai ini ke atas penggunanya. Pengguna tidak akan dibebankan dengan GST ketika membeli kad tambah nilai terbabit, sebaliknya hanya dikenakan GST ketika membuat panggilan, menghantar SMS dan sebagainya.

"Ia sama seperti penggunaan kad 'Touch n Go' dan bayaran tempat parkir kereta yang dikenakan cukai ini. Mereka hanya dicukaikan semasa penggunaan khidmat-khidmat ini," katanya ketika menjawab soalan (BN-Tanah Merah), Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Ikmal Hisham sebelum itu meminta beliau menyatakan usaha kerajaan bagi memastikan syarikat telekomunikasi mengkaji semula GST yang dikenakan ke atas kad prabayar.

Jelas Ahmad Shabery, bagi mengimbangi kesan GST, pihak kerajaan akan meminta pihak syarikat telekomunikasi menurunkan tarif perkhidmatan bagi penggunaan panggilan dan mesej.

"Kami (kerajaan) sedang berusaha mencari jalan supaya pelaksanaannya boleh diterima dan dipakai dengan baik pada masa hadapan.

"Kami juga menggesa syarikat-syarikat ini menawarkan pakej mampu milik kepada golongan sasar seperti pelajar," katanya lagi.
DIA ISTERI LUARBIASA DRAMA LAKONAN TERBARU FATHIA |
SETELAH puas mencari dan mahu cepat memiliki zuriatnya sendiri, Fathia Latiff akhirnya memilih Syukri Yahya sebagai suaminya. Perwatakan Shukri yang dilihat cukup sempurna sebagai seorang lelaki yang matang, berkerjaya dan beriman telah menarik minat Fathia walaupun tiada cinta di hatinya.

Bagaimana dengan Aiman, kekasih yang selama ini bertakhta di hati Fathia? Ramai mendoakan percintaan di antara Aiman dan Fathia berakhir ke jinjang pelamin, namun jangan risau… Shukri hanya menjadi suami Fathia untuk drama terbaru bagi slot Akasia iaitu Dia Isteri Luar Biasa.

Menggantikan Hati Perempuan yang berakhir pada 14 Mei lalu, Dia Isteri Luar Biasa (DILB) mula bersiaran hari ini, setiap Isnin hingga Khamis pada jam 6.55 petang.

Selain Shukri dan Fathia, DILB turut dijayakan Keith Foo, Elizad Sharifuddin, Nonny Nadhirah, Datin Ziela Jalil, Pian Kepoh, Syatilla Melvin, Leez Rosli dan ramai lagi.

Dia Isteri Luar Biasa (DILB) mengisahkan kehidupan Dewi Yusra (Fathia) yang mencari suami sementara hanya bertujuan untuk mendapatkan anak. 

Dewi tidak percaya terhadap lelaki, kebencian Dewi terhadap lelaki terjadi akibat peristiwa silam yang masih menghantui dirinya apabila ibunya menjadi mangsa kekejaman bapanya sendiri.

Bagi Dewi, dia mampu hidup tanpa cinta dari seorang lelaki, tetapi apabila Dewi perlu menjaga anak sahabat baiknya, Eda (Nonny Nadhirah) yang bernama Nina, terdetik di hati Dewi untuk memiliki zuriat.

Kerana tidak mahu berkahwin, Dewi cuba untuk mendapatkan perkhidmatan kaedah IVF dan GTF dari klinik pakar perbidanan namun ditolak kerana menyalahi undang-undang dan juga agama. 

Lalu tercetus satu idea apabila Dewi meminta pertolongan daripada sahabat baiknya, Cik Kem atau Kamrul (Keith Foo) untuk mencari calon suami sementaranya. 

Kehadiran Dr Raden Amzar (Shukri Yahaya), seorang pensyarah dalam satu insiden yang tidak disengajakan di Heathrow, ketika penerbangan pulang dari London ke Kuala Lumpur mengikat Dr Raden Amzar terus di sisi Dewi.

Mampukah Raden Amzar mengubah pendirian Dewi terhadap lelaki dan mewujudkan rasa cinta dengan perkahwinan ini? Bagaimana pula penerimaan keluarga Raden Amzar terhadap Dewi?
Hmm.. seperti yang CM agak sebelum ni... ni mesti adaptasi dari Novel jugak.. macam-macam tajuk Novel sekarang ni kan.. apa-apa pun CM ucapkan good luck buat team DILB ni yea.. 


WAWA ZAINAL HAMIL LAGI |
KEHADIRAN cahaya mata di dalam sesebuah keluarga bukan sahaja menjadi pelengkap dan pengikat kasih sayang antara suami isteri.

Bahkan kehadiran cahaya mata memberikan sinar baharu dalam sesebuah keluarga.

Begitulah yang dilalui oleh pasangan romantis, Wawa Zainal dan suaminya, Aeril Zafril.

Siapa sangka dalam perancangan mereka mencari anak angkat buat menemani anak sulung, Ahmad Fakharuddin Attar, empunya diri telah ditakdirkan hamil terlebih dahulu.

“Saya memang tak rancang nak mengandung anak kedua lebih awal. Kalau boleh nak Attar besar sedikit baru nak tambah anak tapi kami berdua memang merancang nak cari anak angkat buat menemani Attar.

“Kasihan Attar main seorang-seorang. Namun, Alhamdulillah ALLAH dengar,” kata Wawa ketika dihubungi Zass baru-baru ini.

Mengakui teruja dengan kehamilan kali ini, Wawa memberitahu akan berehat seketika daripada menjalankan aktiviti seni demi kesihatan diri dan kandungan.

“Saya tak ada alahan mengandung yang teruk. Sekadar loya dan muntah biasa pada waktu pagi, itu sahaja.

“Buat masa ini saya tidak kisah untuk bekerja walaupun mengandung cuma doktor memang menasihati saya untuk berehat kerana kandungan masih di peringkat awal.

"Justeru saya ambil keputusan untuk berehat," katanya.

Wawa berkata, setelah dikurniakan anak lelaki, dia berharap akan dikurniakan anak perempuan kali ini.

“Alhamdulillah, usia kandungan saya sudah pun memasuki empat bulan. Kalau boleh memang nak anak perempuan. Sekarang sejak saya hamil, Attar semakin manja, asyik nak berdukung sahaja," katanya yang memanggil Attar dengan panggilan Yayang atau Langgak yang bermaksud sayang.



Afiq Muiz Selesa bersama Miera Liyana |
Selepas dirinya dijerat kontroversi tidak lama dahulu, pelakon Afiq Muiz kini membiarkan ianya berlalu dan tidak mahu lagi memandang ke belakang.

Mengakui hubungan bersama ibu dan keluarga juga semakin pulih, Afiq, 23, memberitahu bahawa rezekinya dalam kerjaya lakonan semakin mencurah-curah.

"Alhamdulillah, ada hikmahnya atas apa yang terjadi dan kini saya berdiri tanpa memandang ke belakang lagi. Malah, jika dibandingkan dengan dahulu, hidup saya kini lebih tenang.

"Dari segi kerjaya pula, saya bersyukur kerana masih lagi diberikan rezeki dalam bidang ini. Malah, saya tidak menyangka masih ramai penerbit dan pengarah yang menghargai bakat dan kebolehan saya," katanya yang dipetik menerusi Sinar Online.

Dalam pada itu, Afiq mengakui dia kini sedang berkawan dengan aktres, Miera Leyana. Jelas Afiq, ikatan itu mula terjalin setelah  digandingkan dalam adaptasi, Memori Cinta Suraya.

"Setakat ini, Miera adalah kawan wanita yang paling rapat dengan saya dan saya selesa bersamanya.

"Malah ibu saya juga menyenangi Miera. Namun, bila berbicara soal jodoh, ianya masih terlalu awal untuk ke peringkat yang lebih serius biarlah fokus saya dalam bidang kerjaya terlebih dahulu," katanya.

Fouziah Gous Bakal Menjadi Ibu | disahkan Hamil dua bulan |
Tahniah diucapkan kepada pelakon Fouziah Gous yang bakal bergelar ibu apabila disahkan hamil dua bulan setengah. Selepas beberapa tahun mengharap kehadiran cahaya mata, berita ini pastinya menggembirakan Fouziah dan suami, Zhafran.

Dari sumber terkini, Fouziah mengetahui berita ini setelah pulang dari menjalani penggambaran program Nona sambil berbulan madu bersama suami di Jepun, Mac lalu.

“Mulanya saya tidak jangka hamil kerana saya memang mengalami masalah haid yang tidak menentu tetapi apabila merasakan ada perubahan pada hormon badan saya jadi tak sedap badan. Lantas, saya membuat ujian kehamilan sendiri sebanyak dua kali dan kedua-duanya memberi bacaan positif.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu terlalu gembira lagi dan minggu berikutnya barulah saya pergi membuat pemeriksaan di klinik biasa. Hasilnya juga sama iaitu positif. Sekali lagi saya masih tidak puas hati dan mengajak suami untuk malakukan ujian di pusat perubatan swasta.

“Apabila diberitahu kandungan saya sudah berusia tujuh minggu, barulah saya yakin sepenuhnya,” katanya yang tidak kisah dengan jantina anak yang bakal dilahirkan.

CM mendoakan agar Fouziah dapat menjalani tempoh kehamilan dengan lancar dan melahirkan bayi yang comel dan sihat kelak!